Umum

Polis tahan pemandu e-hailing cabul penumpang wanita

Polis menahan seorang pemandu e-hailing di sekitar bandar raya awal pagi ini yang dipercayai mencabul kehormatan seorang penumpang wanita di Jalan Bakar Batu di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di sekitar badar raya pada jam 1.30 pagi.

Katanya kejadian berlaku semasa wanita berumur 23 tahun itu menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumah di Permas Jaya selepas habis bekerja di sebuah pusat beli belah di sini, apabila pemandu e-hailing itu meminta dia supaya duduk di tempat duduk hadapan semasa dalam perjalanan, namun dia enggan berbuat demikian pada mulanya.

“Ketika kenderaan berada di Jalan Bakar Batu berhampiran simpang South Key, mangsa mengatakan terpaksa menuruti permintaan dan duduk di bahagian tempat duduk hadapan, sebelum dicabul, apabila dadanya diraba beberapa kali,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata wanita itu berjaya menolak individu terbabit, dan melepaskan diri dengan keluar daripada kenderaan, sebelum membuat laporan polis.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top