Forum Ekonomi Hidrogen (H2EF) 2025 – dianjurkan oleh APGH telah dibuka secara rasmi di Hilton Kuching, dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Premier Sarawak turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Merintis Masa Depan Tenaga Baharu: Ekonomi Hidrogen Sarawak dalam Tindakan”.
Dalam ucaptamanya, Premier Sarawak menekankan bahawa hidrogen merupakan teras utama dalam strategi tenaga bersih negeri itu. Beliau menegaskan komitmen Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang hidrogen, yang dipacu oleh pelancaran rasmi Sarawak Hydrogen Economy Roadmap (SHER). Pelan hala tuju ini menggariskan strategi untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, gas asli dan keupayaan penangkapan karbon yang banyak di Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran hidrogen rendah karbon.
Premier turut mengumumkan penganjuran semula Asia Pacific Green Hydrogen (APGH) Conference and Exhibition, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 11 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Berbekalkan kejayaan edisi pertamanya, APGH 2026 dijangka merancakkan lagi dialog global, inovasi dan pelaburan dalam ekonomi hidrogen.
Hari pembukaan H2EF 2025 turut menyaksikan beberapa pengumuman industri penting dan pemeteraian kerjasama strategik yang mencerminkan peranan Sarawak yang semakin menonjol dalam landskap tenaga bersih. Antara yang diumumkan ialah pertukaran Surat Niat antara SEDC Energy dan NGLTech (Sarawak) Sdn Bhd, pertukaran MoU antara UNIMAS dan Bureau Veritas, serta MoU antara Sarawak Petchem dan HighChem Company Limited.
Satu lagi sorotan utama ialah pelancaran laporan ESG PKS Sarawak yang pertama oleh Alliance Bank, bertajuk “Navigating ESG in Sarawak: Insights from SMEs”. Laporan ini memberi gambaran menyeluruh tentang bagaimana perusahaan kecil dan sederhana tempatan menyesuaikan diri dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau.
Dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) dan dianjurkan bersama oleh MOSTI dan Borneo Business Connect, dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak), H2EF 2025 berfungsi sebagai platform strategik untuk memacu peralihan ekonomi hidrogen di Asia Tenggara. Forum ini sejajar dengan inisiatif nasional di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Dengan penyertaan lebih 400 delegasi termasuk peneraju industri hidrogen, penyelidik, pelabur dan pembuat dasar dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Jerman dan Belanda, H2EF 2025 terus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga bersih di rantau ini
