MINAT mendalam terhadap politik dan niat menabur bakti kepada masyarakat, mendorong calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof melepaskan kerjaya sebagai doktor.
Calon muda berusia 35 tahun itu yang dipertaruh BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berkata, minatnya untuk menabur bakti kepada rakyat dan negeri Melaka menerusi platform politik berputik sejak dibangku sekolah dan kian subur, ketika menuntut di universiti.
Bagaimanapun cita-cita anak jati Melaka itu untuk terjun ke dunia politik pada usia lebih awal tertangguh, disebabkan terikat kontrak pekerjaan, selain mahu mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.
“PRN Melaka gelanggang pertama untuk saya berjinak-jinak secara serius (dengan dunia politik). Namun, saya yakin mampu menggalas amanah ini dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai fokus utama, sekiranya saya mendapat mandat nanti.
“Selain itu, saya bertekad menjadikan platform politik ini sebagai saluran membanteras elemen rasuah dalam pengurusan dan pentadbiran dalam kerajaan,” katanya di Melaka.
Dr Mohd Aleef yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Management and Science University (MSU) pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan, sebelum berhijrah ke hospital swasta di Melaka.
Katanya, beliau teruja dengan sikap keterbukaan PN membuka ruang lebih ramai calon muda dan profesional untuk bertanding dalam PRN Melaka dan pendekatan itu mampu menarik minat golongan muda bersama parti itu.
Mohd Aleef bakal berhadapan saingan empat penjuru menentang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).
Mengulas saingan dihadapinya di DUN Sungai Udang, beliau berkata, walaupun masih mentah dalam politik, beliau yakin dengan keupayaannya dan PN yang diwakilinya kerana ia sebuah parti yang semakin mendapat tempat di hati rakyat berbilang kaum.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 Nov.
Melaka yang mempunyai 28 DUN, mempunyai seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 48.57 peratus pengundi lelaki dan 51.43 peratus, wanita. – Bernama