Polis Selangor kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan bahawa program motivasi rumah tangga eHati disyaki mempunyai unsur lucah serta ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 294 (kelakuan lucah di tempat awam) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan), serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan dijalankan secara teliti bagi mengenal pasti kewujudan sebarang elemen lucah atau ajaran yang menyimpang seperti yang didakwa.
Siasatan dibuat secara menyeluruh supaya setiap aspek dapat dinilai dengan adil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, semua peserta yang hadir akan dipanggil untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai mana-mana program atau bengkel yang tidak jelas matlamat dan latar belakang penganjur.
“Buat semakan dan rujukan terlebih dahulu agar tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau nilai moral masyarakat,” tegas beliau.
Sebelum ini, tular beberapa dakwaan mendakwa program motivasi tersebut mengandungi aktiviti yang dikatakan tidak senonoh, termasuk penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan. Beberapa saksi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
NH Online akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan melaporkan sebarang maklumat terkini.
