Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh budaya penabungan pendidikan dengan pelancaran Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025, yang berlangsung penuh meriah semalam di Exhibitions Hall, Kompleks Karamunsing, Sabah.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, disertai barisan kepimpinan utama PTPTN termasuk Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Hjh. Norliza Abdul Rahim, Ahli Lembaga Pengurusan, YBhg. Datuk Seri Abdul Razak Jaafar serta Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Karnival KAWAN 2025 merupakan acara berskala nasional yang dianjurkan serentak di 14 negeri seluruh negara, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), jabatan pendidikan negeri, agensi kerajaan, swasta serta sekolah-sekolah rendah terlibat dalam Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP).
Acara turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Tuaran atas penglibatan aktif dalam modul KSP, selain penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna, Pertandingan Kebudayaan dan Action Song Simpan SSPN 2025 yang mengetengahkan tema “Warisan”.
Menurut kenyataan PTPTN, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mempromosi Simpan SSPN sebagai tabungan pendidikan pilihan, malah turut menanamkan nilai perancangan kewangan sejak usia muda — satu langkah penting ke arah pembangunan modal insan negara.
“Karnival ini menggambarkan peranan anak-anak sebagai pewaris masa depan negara, dan PTPTN komited untuk terus menjadi pemangkin dalam menyediakan platform penabungan pendidikan yang mampan,” jelas kenyataan itu.
