Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.
Menurut portal Gulf News, bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.
Jelas portal tersebut lagi, namun begitu, beberapa negara Islam lain berkemungkinan dapat menyaksikan anak bulan pada tarikh tersebut.
Kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.
Di Malaysia, pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu. – Sinar Harian memetik agensi