Umum

Rangka kerja kemahiran masa depan pertama Malaysia dilancar untuk memperteguh tenaga kerja sektor kewangan masa depan

Gambar AICB

Sektor kewangan memainkan peranan yang penting dalam memacu pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia, menyumbang anggaran 6.7% kepada KDNK pada tahun 2023, dengan ramalan pertumbuhan 4.3% untuk tahun 2024. Memandangkan sektor kewangan terus berkembang, dengan 168,832 pekerja setakat suku pertama 2024, pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi, adalah sangat penting untuk pertumbuhan dan kemampanan sektor itu.

Trend utama yang memberikan kesan kepada tenaga kerja sektor kewangan Malaysia, iaitu, GenAI, transformasi digital, keselamatan siber, kelestarian, pendekatan berorientasikan pelanggan, dan pendekatan berorientasikan pekerja, secara asasnya membentuk semula model perniagaan dan peranan pekerjaan. Menurut laporan The Future of Jobs Report 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, para majikan menganggarkan bahawa menjelang tahun 2027, 44% daripada kemahiran teras pekerja akan terganggu dan enam daripada 10 pekerja akan memerlukan latihan, tetapi hanya separuh mempunyai akses kepada peluang latihan yang mencukupi.

Menyedari keperluan mendesak untuk menangani pelbagai cabaran ini, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Insurans Malaysia (MII), hari ini melancarkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) yang pertama untuk memastikan tenaga kerja sektor kewangan bersedia untuk menghadapi masa depan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan menggalakkan penguasaan kemahiran dan pembelajaran berterusan. Dirasmikan oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, Malaysia, dan Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia, FSF akan memudahkan transformasi tenaga kerja, sejajar dengan Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022–2026, yang menekankan kepentingan memupuk bakat yang sesuai untuk masa hadapan bagi meningkatkan daya saing sektor kewangan.

FSF mengenal pasti 159 peranan pekerjaan yang relevan dan 157 kemahiran yang akan menjadi permintaan untuk tempoh tiga tahun akan datang, laluan perkembangan kerjaya yang berpotensi, dan menyediakan akses kepada hampir 1,000 program pembangunan kapasiti. Antara lain, FSF menonjolkan permintaan yang semakin meningkat untuk kemahiran dalam bidang teknologi sempadan (frontier), kelestarian dan Syariah.

Edward Ling, Ketua Eksekutif, Asian Institute of Chartered Bankers, berkata, “Memandangkan Malaysia menyasarkan 35% tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030, Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) menandakan langkah penting dalam memajukan tenaga kerja sektor kewangan sedia masa hadapan. FSF menawarkan penyelesaian transformatif, menekankan strategi ‘Kemahiran-Diutamakan’ (`Skills-First’) yang akan merevolusikan pembangunan bakat serta mobiliti merentas peranan pekerjaan dan subsektor perkhidmatan kewangan. AICB berbangga menerajui inisiatif ini, sekali gus mencerminkan komitmen kami untuk menangani keperluan industri yang berkembang, menetapkan piawaian tinggi untuk penguasaan kemahiran, dan memupuk pembelajaran berterusan bagi pertumbuhan sektor dan kecemerlangan profesional.”

Yusry Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, juga berkata, “Menjadi hasrat kami agar Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) dapat membolehkan IBFIM menyokong perkembangan profesional kewangan Islam yang berkemahiran tinggi, melengkapkan mereka dengan set kemahiran pelbagai yang dikehendaki untuk keperluan masa depan.”

Paul Low, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Insurans Malaysia, berkata, “Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) menyokong pembangunan profesional ahli kami dalam sektor insurans serta selaras dengan piawaian serta amalan terbaik global. MII kekal komited untuk memastikan bahawa program latihan dan pendidikan yang kami tawarkan adalah relevan, disesuaikan dengan baik, dan sejajar dengan keperluan industri insurans yang sentiasa berubah.”

FSF juga bertujuan untuk menyelaraskan program-program latihan dengan keperluan khusus sektor kewangan, sekali gus merapatkan jurang antara permintaan majikan dengan kemahiran tenaga kerja. FSF mengenal pasti 15 “Power Skills” (kemahiran asas), yang relevan untuk semua peranan pekerjaan, melengkapkan 142 “Prime Skills” (kemahiran teknikal). Institusi kewangan boleh menyesuaikan FSF untuk memenuhi keperluan tersendiri mereka, menggunakan rangka kerja ini sebagai panduan untuk pengesahan lanjut dan perancangan strategik dalam meningkatkan pembangunan bakat.

Inisiatif ini juga disokong oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) dan Talent Corporation Malaysia Berhad.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top