Sports

Ranking Harimau Malaya Meningkat, Catat Lonjakan Tertinggi Dalam Hampir Dua Dekad

Skuad Harimau Malaya terus mencipta momentum positif apabila melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-125 dunia dalam kemas kini terbaru ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan Khamis lalu.

Lonjakan ini meletakkan skuad kendalian Peter Cklamovski pada kedudukan terbaik sejak hampir 20 tahun lalu, selepas kali terakhir menghampiri ranking ini pada Februari 2006.

Kemas kini pada 3 April lalu menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-131 dunia, namun kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun memberi impak besar kepada pungutan mata negara.

Hasil kemenangan itu, Malaysia berjaya menambah 14.91 mata, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan mata kini 1,138.48.


Berpeluang Tambah Mata di CAFA Cup

Selepas ini, Harimau Malaya bakal beraksi dalam kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadual berlangsung bulan depan. Kejohanan ini bakal menyaksikan Malaysia menentang beberapa pasukan berstatus ranking lebih tinggi — peluang terbaik untuk terus menambah mata jika mencatat keputusan positif.

Skuad kebangsaan kemudiannya akan kembali beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Asia dengan pertemuan menentang Laos di gelanggang lawan pada 9 Oktober depan.


Kemas Kini Ranking Seterusnya

Mengikut kalendar semasa, kemas kini ranking dunia FIFA berikutnya dijangka diumumkan pada 18 September 2025. Peminat Harimau Malaya tentunya berharap momentum cemerlang ini dapat diteruskan untuk melihat Malaysia kembali mengukuhkan kedudukan di pentas antarabangsa.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top