Umum

Resorts World Genting menganjurkan Ekspo Genting SustainBiz F&B dengan kerjasama Comexposium Asia Pasifik

Resorts World Genting (RWG), yang dikenali sebagai destinasi resort bersepadu utama di Malaysia, diumumkan akan menjadi tuan rumah kepada Ekspo Genting SustainBiz F&B yang bakal berlangsung di Genting International Convention Centre (GICC) dari 10 hingga 12 September 2024 dengan menitikberatkan kelestarian dan ekonomi hijau.

Memorandum Persefahaman (MoU) telah termeterai antara Presiden dan Ketua Pegawai Operasi RWG, Lee Thiam Kit dan Pengarah Pameran Comexposium Asia Tenggara, Henri Tan Chee Seah, peneraju komuniti perniagaan berpusat di Perancis.

Difahamkan perjanjian ini merupakan persetujuan menganjurkan ekspo tersebut bersama.

MoU yang ditandatangani oleh RWG dan Comexposium Asia Pasifik

Ekspo Genting SustainBiz F&B merupakan satu pameran perdagangan khusus yang diatur untuk menitikberatkan segmen utama ekonomi hijau dan perdagangan masa depan yang mampan merangkumi pelbagai aspek, termasuk pengeluaran makanan mampan, amalan makanan laut yang berkesan, pembungkusan lestari dan pengurusan sisa makanan, amalan pemulihan pertanian, inovasi berasaskan tumbuhan, penyelidikan inovasi makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan peralatan komersial yang mesra alam.

Dengan sasaran 80 pempamer tempatan dan antarabangsa, 100 pembeli tempatan dan antarabangsa, ekspo ini menarik minat 3,000 pengunjung dari serata rantau. Para pengunjung dijangka dapat menyaksikan paparan peralatan mesra alam, mendengar penyampaian penyelidikan mengenai inovasi industri makanan, dan turut serta dalam perbincangan mengenai isu-isu dan topik berkaitan dengan kelestarian.

Ekspo selama tiga (3) hari ini disokong oleh Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) sebagai rakan strategik dan VISA Malaysia sebagai penaja platinum, serta akan turut menampilkan pemain industri yang baharu dan terkemuka.

Ekspo Genting SustainBiz F&B yang akan diadakan di puncak Resorts World Genting menyediakan penginapan dan kemudahan bertaraf dunia tanpa tandingan kepada pengembara perniagaan. Ia juga mewujudkan rangkaian peluang perniagaan dengan pembeli terkemuka, bengkel percuma untuk membina perbualan bermanfaat serta perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) yang memastikan pemadanan perniagaan yang tepat.

Menurut Spencer Lee, Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran & MICE RWG, “Kemampanan dan trend kesedaran hijau kini telah menjadi keperluan strategik bagi perniagaan global,”

“Dengan langkah yang disusun bijak pada masa yang tepat, Genting SustainBiz dijangka bakal menarik minat bukan hanya dari golongan profesional dan usahawan dalam sektor F&B serta hospitaliti, malah dari kalangan pelabur, penyokong alam sekitar, ahli akademik, dan pembuat dasar,” katanya ketika sidang media MoU di Wisma Genting.

Henri Tan, Spencer Lee dan Peter Foster ketika Sidang Media MoU

Henri Tan pula menyatakan, Genting SustainBiz akan menjadi piawai ekspo berlandaskan kelestarian.

“Dengan hospitaliti Resorts World Genting yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kepakaran Comexposium dalam menyatukan komuniti perniagaan, pempamer dan pengunjung, pameran perdagangan bulan September ini pasti akan luar biasa dan tidak dapat dilupakan,” ujar beliau.

Noor Azlan Abu Bakar, Pengarah Pembangunan Perniagaan dari MyCEB, berkata, “MyCEB dengan bangga mengumumkan kerjasama strategik bersama Resorts World Genting dalam Ekspo Genting SustainBiz F&B, sebuah inisiatif yang memperkuat agenda kelestarian negara dan sejajar dengan matlamat strategik pelancongan untuk meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi utama untuk urusan perniagaan.”

Pengurus Wilayah VISA Malaysia, Ng Kong Boon menjelaskan, “Ekspo Genting SustainBiz F&B selaras dengan misi VISA Malaysia untuk mendigitalkan perniagaan kecil dan menyokong usaha- usaha positif dalam memajukan ekonomi tempatan agar berkembang dan beroperasi dengan lebih beretika dan mampan.”

Tambahnya lagi, “Kelestarian adalah fokus utama VISA, dan kami secara aktif bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mempromosikan amalan mesra alam.”

Beliau turut menerangkan, melalui program VISA Eco Benefits yang diperkenalkan di Asia Pasifik, pemegang kad dapat memahami impak perbelanjaan mereka terhadap alam sekitar serta menggalakkan penggunaan dan tingkah laku yang lestari.

“Usaha ini, secara tidak langsung akan membantu lebih ramai pengguna memulakan langkah mereka dalam membina masa depan yang mampan.”

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Ekspo Genting SustainBiz F&B, sila hubungi Resorts World Genting melalui emel di [email protected] atau layari rwgenting.com/sustainbiz untuk maklumat lanjut.

PALING POPULAR

To Top