Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Resorts World Genting (RWG) tahun ini tampil lebih ceria menerusi kempen “Jom Raya Kaw Kaw” yang berlangsung dari 13 Mac hingga 12 April 2026.
Kempen tersebut menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan keluarga termasuk kehadiran watak popular Care Bears yang menjadi tarikan utama kepada pengunjung di Kimhua Atrium, SkyAvenue.
Ruang atrium berkenaan dihiasi dengan dekorasi perayaan berwarna-warni yang menggabungkan elemen nostalgia budaya pop bersama suasana Aidilfitri, sekali gus menyediakan lokasi bergambar menarik untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Sepanjang hujung minggu dari 14 hingga 28 Mac 2026, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi meet and greet bersama watak Cheer Bear dan Grumpy Bear. Selain itu, sebuah kedai pop-up turut menawarkan pelbagai barangan eksklusif bertemakan Care Bears sepanjang tempoh kempen.
RWG turut menyediakan aktiviti interaktif melalui program Spend and Participate, di mana pengunjung yang mencapai jumlah pembelian tertentu boleh menyertai Bengkel Lukisan Coaster Raya di Kimhua Atrium pada hujung minggu dari 14 hingga 22 Mac. Pengunjung juga boleh merakam kenangan perayaan di Care Bears Digital Photobooth dengan cetakan foto istimewa sebagai cenderahati.
Dalam semangat berkongsi rezeki sempena Ramadan dan Syawal, kempen Kurma Sejuta Rasa turut dianjurkan dari 7 hingga 20 Mac. Pengunjung yang mengikuti platform media sosial rasmi SkyAvenue berpeluang menebus pek kurma percuma di Kaunter Informasi Zouk Atrium, tertakluk kepada stok harian.
Program ganjaran Syawal Redemption pula berlangsung dari 14 Mac hingga 12 April 2026. Pengunjung yang mencapai nilai perbelanjaan tertentu berpeluang menebus sampul raya eksklusif Care Bears, baucar beli-belah serta barangan edisi terhad seperti pin dan cawan khas.
Dalam pada itu, RWG turut menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 28 Mac 2026 di Kimhua Atrium dengan menjemput kanak-kanak kurang berkemampuan untuk merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri di resort berkenaan.
Mereka akan menikmati pelbagai aktiviti termasuk sesi meet and greet Care Bears, aktiviti seni serta jamuan makanan sebagai sebahagian usaha menyemarakkan nilai kebersamaan dan kemurahan hati sempena musim perayaan.
Sementara itu, Pavilion Hall turut dihiasi dekorasi perayaan termasuk struktur karusel bertema bulan sabit dan bintang yang berputar perlahan, selain gerbang bercahaya dan pelita bersaiz besar yang menjadi tarikan bergambar kepada pengunjung.
SkyAvenue juga menampilkan pelbagai persembahan hiburan harian seperti Raya Mana Dance Show, Raya Robot Show, Wayang Kulit, Cak Lempung dan Dikir Barat, selain persembahan tarian tradisional dari 20 hingga 29 Mac 2026.
Dari segi gastronomi, pengunjung boleh menikmati Set Setalam Aidilfitri di Jom Makan SkyAvenue sehingga 23 Mac pada harga RM45, yang merangkumi ayam percik, nasi minyak serta hidangan sampingan tradisional.
Jom Makan Street Food pula menawarkan pelbagai pilihan kerabu tradisional seperti pucuk paku, kerabu mangga, kacang botol dan taugeh bermula dari RM8 setiap satu, bersama minuman istimewa seperti air jagung dan bandung cincau.
Di Resorts World Awana, sambutan diteruskan melalui program Riang Raya Kaw Kaw dari 9 Mac hingga 5 April 2026 dengan aktiviti budaya termasuk permainan tradisional Melayu, kaligrafi Jawi, lukisan batik dan mewarna gasing.
Bagi pengunjung yang ingin bercuti di tanah tinggi sempena Aidilfitri, RWG turut menawarkan pakej penginapan “Cuti-Cuti Raya” yang dibuka untuk tempahan sehingga 28 Mac 2026.
Maklumat lanjut mengenai kempen Jom Raya Kaw Kaw boleh didapati di laman web rasmi Resorts World Genting.



