Umum

Saifuddin nasihat MB Pahang jangan putar belit cerita

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menasihati Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk tidak memutar belit cerita berhubung pembentukan kerajaan negeri Pahang dengan memburukkan imej parti itu.

Menurut beliau, kisah pembentukan kerajaan negeri Pahang telah menjadi satu bukti bahawa PN negeri itu telah mengamalkan sikap tolak ansur namun dibalas dengan kesombongan Barisan Nasional (BN) yang mahukan Pakatan Harapan (PH) bersama di dalam pentadbiran meskipun komposisi tertinggi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memihak kepada PN.

“Ceritanya (di Pahang ini adalah) betapa kami (Perikatan Nasional mengamalkan sikap) bertolak ansur, itu mesej (utamanya), punyalah (PN) bertolak ansur, (hendak) ke situ boleh, ke situ (pun) boleh.

“Jadi Datuk Seri Wan Rosdy jangan memutar belit cerita (perundingan itu) itu, cerita (sebenar adalah) betapa kami bertolak ansur dengan Barisan Nasional, itu cerita yang sebenar.

“Cerita yang sebenar juga adalah betapa sombong Datuk Seri Wan Rosdy (Wan Ismail) apabila (di dalam) pusingan ketiga perbincangan dengan (Timbalan Presiden Pas), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengatakan (bahawa) BN (akan menjadi) Menteri Besar dan dua kerusi Exco (diberikan) kepada PH, satu kepada PN,

“(Kalau) itu (berlaku), lebih baik tidak payah hendak berunding, orang (yang menang) 17 kerusi (DUN) boleh dapat satu Exco, orang (yang menang) lapan kerusi dapat dua Exco, tidak ada logik dalam dunia mengatakan begitu,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas kempen PN bersama calon Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri, di sini, pada Khamis (semalam).

Pada Khamis, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy dilaporkan berkata, keputusan BN memilih PH untuk membentuk kerajaan negeri kerana blok politik itu sedia bekerjasama tanpa meletakkan sebarang syarat supaya kerajaan negeri ditubuhkan segera demi kestabilan rakyat.

Beliau berkata, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor menghubunginya selepas keputusan muktamad Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas tiada blok politik memperoleh majoriti mudah, yang berlaku buat pertama kali di negeri ini.

Selain PH, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, turut dihubungi oleh PN untuk berbincang mengenai pembentukan kerajaan negeri, namun PN yang diwakili Tuan Ibrahim didakwa meletakkan beberapa syarat bagi tujuan itu.

Antara syarat itu ialah Wan Rosdy diberi jawatan menteri penuh bertaraf Senator, manakala jawatan Menteri Besar dan Yang Dipertua DUN diberi kepada PN, sementara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibahagi secara sama rata dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan juga diberikan kepada PN.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top