Umum

Samsung Malaysia Umum 10 Pasukan Separuh Akhir “Solve for Tomorrow 2025”

Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd hari ini mengumumkan 10 pasukan separuh akhir terbaik bagi edisi pertandingan Samsung Solve for Tomorrow 2025, sebuah inisiatif berasaskan STEM yang menggalakkan pelajar menyesuaikan ilmu sains dan teknologi untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

Tahun ini, lebih daripada 210 pelajar dan mentor dari seluruh Malaysia telah mengambil bahagian, menampilkan idea-idea inovatif yang berteraskan solusi komuniti. Setelah melalui proses penilaian oleh panel juri profesional, 10 pasukan paling berpotensi telah dipilih untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Platform Untuk Menginspirasi Generasi Muda

“Setiap tahun, kami terinspirasi dengan kreativiti dan semangat anak muda,” kata Elaine Soh, Ketua Pegawai Pemasaran Samsung Malaysia. “Solve for Tomorrow bukan sekadar pertandingan — ia merupakan platform untuk mengubah idea menjadi penyelesaian bermakna bagi cabaran sebenar. Selain pengetahuan STEM, para peserta juga membangunkan kemahiran penting seperti kerjasama, pemikiran kritikal, dan keyakinan diri yang amat penting untuk masa depan mereka.”

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, inisiatif ini telah memberi impak positif dalam membentuk pemikiran generasi muda.
“Samsung Solve for Tomorrow menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal dan bertindak dengan berani. Kami berbangga dapat terus menjadi sebahagian daripada gerakan ini,” katanya.

Beliau turut menambah, “Bagi peserta yang belum tersenarai kali ini, jangan kecewa. Keberanian untuk tampil dan berkongsi idea sudah merupakan satu pencapaian. Kami berharap anda akan terus menunjukkan semangat dan kreativiti pada edisi seterusnya.”

10 Pasukan Separuh Akhir “Solve for Tomorrow 2025”

(tanpa turutan tertentu)

  • Aether Care – SMK St Thomas
  • Coding Chaos – SMK Bukit Jambul
  • EduHive – SMK Tinggi Perempuan Melaka
  • EVOXIS – Sekolah Agama Menengah Bestari Selangor
  • Potassium Boost – Sekolah Menengah Sri KDU Selangor
  • StraightUp – Yayasan Sarawak International Secondary School Petra Jaya
  • TechFlash – MRSM Bagan Datuk
  • TechNest – SMK Desa Tun Hussein Onn
  • The C.E.S – Sabah Tshung Tsin Secondary School
  • The Interceptor’s Eye – SMJK Kwang Hua

Sebelum ke pentas akhir pada 6 Disember 2025, kesemua pasukan akan mengikuti Bengkel Pemikiran Rekaan (Design Thinking Workshop) pada 11 Oktober 2025. Dalam bengkel ini, mereka akan membentangkan idea kepada panel juri dan menerima bimbingan daripada mentor Samsung Malaysia dan Universiti Malaya bagi memperkukuh aspek teknikal dan kebolehskalaan projek masing-masing.

Untuk maklumat terkini, ikuti laman rasmi Samsung Malaysia di Facebook dan Instagram.


🔍

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top