Tech

Samsung rancang bawa Google Photos ke TV AI Samsung

Samsung rancang bawa Google Photos ke TV AI Samsung, paparkan kenangan peribadi di skrin besar mulai 2026

SEOUL – Samsung Electronics merancang untuk mengintegrasikan Google Photos ke dalam barisan Samsung AI TV, sekali gus membolehkan pengguna menikmati foto dan kenangan peribadi mereka di skrin besar dengan lebih imersif bermula tahun 2026.

Menurut Samsung, ciri Google Photos ini dijangka menjadikan TV sebagai medium baharu untuk keluarga mengimbau kenangan, termasuk gambar percutian, hobi dan detik harian bersama insan tersayang, dalam paparan berskala besar dan berkualiti tinggi.

Naib Presiden Eksekutif Pasukan Pengalaman Pelanggan, Visual Display (VD) Samsung Electronics, Kevin Lee berkata integrasi ini selari dengan peranan TV Samsung yang sentiasa menjadi pusat kebersamaan keluarga.

“Dengan membawa Google Photos ke skrin besar, kami mahu menjadikan pengalaman menonton TV lebih peribadi dan bermakna, di mana pengguna boleh menghidupkan semula kisah di sebalik gambar mereka dari ruang tamu sendiri,” katanya.

Paparan kenangan lebih bermakna di skrin besar

Melalui integrasi yang dirancang, foto yang dirakam menggunakan telefon pintar akan dipaparkan secara automatik di TV Samsung selepas pengguna log masuk menggunakan akaun Google mereka. Gambar akan dipersembahkan dalam format lebih sinematik dan mudah diakses.

Pengguna juga boleh meneroka kenangan yang disusun mengikut individu, lokasi dan detik bermakna. Google Photos turut akan disepadukan dengan Samsung Vision AI Companion (VAC) bagi memperkayakan pengalaman visual dan interaksi pengguna sepanjang hari.

Samsung turut membayangkan paparan foto ini akan muncul secara kontekstual melalui ciri seperti Daily+ dan Daily Board, membolehkan kenangan peribadi dipaparkan secara semula jadi tanpa perlu navigasi yang rumit.

Tiga ciri utama Google Photos di TV Samsung

Memories (dirancang dilancarkan awal 2026) – Paparan kisah kenangan berdasarkan individu, lokasi dan momen bermakna buat pertama kali di TV. Ciri ini dijangka eksklusif untuk TV Samsung selama enam bulan.

Create dengan AI (dirancang kemudian pada 2026) – Membolehkan pengguna menghasilkan kandungan kreatif menggunakan templat bertema berasaskan teknologi AI Google DeepMind, termasuk transformasi gaya seni serta penukaran foto kepada video pendek.

Personalized Results (dirancang kemudian pada 2026) – Menyajikan paparan slaid foto berdasarkan tema atau kandungan tertentu seperti laut, aktiviti mendaki atau destinasi pelancongan.

TV sebagai galeri peribadi digital

Kerjasama antara Samsung dan Google Photos ini bertujuan menjadikan TV sebagai galeri digital utama di rumah, membolehkan pengguna meneroka perjalanan hidup mereka, mencipta naratif baharu dan mengimbau kenangan lama dengan lebih mendalam.

Naib Presiden Google Photos dan Google One, Shimrit Ben-Yair berkata Google Photos sememangnya direka untuk membantu pengguna menyusun dan menghidupkan semula memori mereka.

“Kami teruja membawa Google Photos ke TV Samsung bagi membolehkan pengguna menikmati foto kegemaran mereka di skrin lebih besar dan berhubung semula dengan kenangan dalam cara yang baharu,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top