Sports

Sarawak sedia jadi hos bersama Sukan SEA 2027

Gambar Sarawakku

Premier Sarawak menyatakan Sarawak sedia menjadi hos bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027 serta mencadangkan acara perasmian Sukan SEA 2027 itu diadakan di negeri itu.

Menurut Abang Johari Openg, Sarawak juga bersedia berkongsi kos penganjuran Sukan SEA 2027 bersama kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan ada ‘merisik’ Sarawak untuk menjadi hos bersama, kita dimaklumkan kos serta bajet penganjuran ini adalah besar dan apa yang dicadangkan agar Sarawak boleh membantu.

“Kita kata boleh, tetapi upacara perasmian kita cadangkan untuk diadakan di Sarawak dan penutupan di Semenanjung,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 Bahagian Kuching.

Terdahulu media melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneliti impak penganjuran Sukan SEA 2027 dan akan membentangkan keputusannya kepada Jemaah Menteri bulan depan.

Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022 sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran kepada Malaysia.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah acara dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, dan semuanya berlangsung di Lembah Klang.

Sehubungan itu, Premier itu berkata kos penganjuran Sukan SEA 2027 adalah dianggarkan RM750 juta dan Sarawak bersedia membiayai separuh daripada jumlah tersebut.

“Kenapa kita sanggup? (Untuk menjadi hos bersama) kerana ini salah satu agenda untuk pembangunan bakat. Pembangunan bakat kita bukan hanya di bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga di bidang sukan,” katanya dilaporkan FMT.

 

 

PALING POPULAR

To Top