Umum

Selangor benar rapat saf solat berjemaah mulai 1 April

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid dan surau seluruh negeri Selangor berkuat kuasa 1 April ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

“Baginda telah berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutamanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19 selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah umat Islam.

“Baginda juga berkenan solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, para jemaah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang ditetapkan seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

“Individu berumur 18 tahun dan ke bawah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid dan surau selain perlu membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

“Individu yang bergejala diminta menangguhkan sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, baginda turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan menasihati rakyat di negeri itu untuk terus berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

“Di Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

“Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top