Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan siapa sebenarnya yang menggunakan parti sebagai perisai dan menguruskannya sebagai hak peribadi demi kepentingan sendiri, ia selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidasnya susulan komen berhubung pendedahan PASleak.
Presiden UMNO itu terdahulu membidas Annuar yang dilihat tidak mengambil serius pendedahan PASleak kerana mengganggap ia bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi bagi Zahid ia adalah suatu yang amat serius kerana sedang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Annuar menegaskan kesetiaannya adalah kepada parti dan bukan setia terhadap seseorang individu.
“Kesetiaan pada parti memang amat penting. Ia berbeza dengan setia kepada individu, yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.
“Kesilapan individu, perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana itu individu dan bukannya parti,” kata Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, Annuar juga membidas siapa sebenarnya yang menggunakan parti untuk mempertahankan diri sendiri sehingga sanggup melanggar mandat parti.
“Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.
“Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” katanya lagi.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat PAS yang merancang untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk menyegerakan usaha memastikan Zahid dipenjarakan.
Semalam Presiden UMNO itu mengingatkan pemimpin parti supaya tidak “menderhaka” kepada parti dengan mengikut rentak musuh yang penuh dengan muslihat.
Annuar sebelum ini pernah mendakwa Zahid memberikan perakuan bersumpah bagi menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Annuar berkata, tindakan mempertikai kesetiaan hanya akan menanam kebencian sesama ahli dan hanya akan melemahkan UMNO.
Sumber: Agenda Daily