Umum

Seludup dadah ke penjara guna dron, Polis kesan 7 kes

Gambar PDRM

Polis telah mengesan 7 kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam penjara di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, kes tanpa tangkapan itu dilaporkan berlaku di Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak, dengan ganja, heroin, syabu, ketamin serta pil yaba dianggarkan seberat 632.88g antara dadah dirampas.

“Penggunaan dron untuk menyeludup masuk dadah bukanlah kes baharu, sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di Johor pada 2020.

Dalam kes itu, seorang lelaki warga Singapura ditahan atas kesalahan mengedar dadah menggunakan dron ke Singapura membabitkan rampasan dadah syabu (13.6g); pil ekstasi (11.83g) dan heroin (2.5g), katanya dilaporkan Harian Metro dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Pada 9 Ogos lalu, pihak berkuasa mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke Penjara Tapah di Perak.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada kakitangan penjara yang menemui dron putih di bumbung sebuah blok penjara.

Khaw berkata, pasukan khas sudah ditubuhkan bagi menyiasat lanjut taktik itu dan mengesan pelakunya.

Menurutnya, sindiket disyaki menggunakan dron bagi mengaburi pihak berkuasa.

 

PALING POPULAR

To Top