Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memaklumkan bahawa semakan pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1 Tahun 2026 akan dibuka bermula hari ini, 8 Disember 2025, jam 4 petang.
PLKN 3.0 Siri 1 bagi tahun 2026 dijadualkan berlangsung dari 17 Januari hingga 3 Mac 2026, melibatkan dua kem Askar Wataniah (AW) iaitu Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur dan Rejimen 505 AW, Pekan, Pahang.
Menurut JLKN, sebanyak empat siri latihan PLKN 3.0 akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Kelahiran Tahun 2008 Layak Semak
Semakan terbuka kepada bakal pelatih kelahiran tahun 2008, dan boleh dibuat melalui sistem ePLKN 3.0 di pautan berikut:
👉 https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form
Pelatih yang terpilih diwajibkan mengesahkan kehadiran masing-masing selewat-lewatnya pada 25 Disember 2025 bagi memastikan kelancaran urusan pendaftaran dan pentadbiran.
Bagi siri latihan PLKN seterusnya selepas Siri 1, pihak JLKN akan memaklumkan secara berperingkat dari semasa ke semasa. Bakal pelatih juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan pengumuman rasmi melalui saluran komunikasi JLKN.
Kehadiran Adalah Wajib
JLKN turut menegaskan bahawa kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. Kegagalan melaporkan diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap sebagai ingkar arahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Unit Pelatih, Sektor Latihan, JLKN di talian:
📞 03-4013 sambungan 3612 / 3613 / 3614 / 3604 / 3603 / 3626
atau melayari laman sesawang rasmi:
🌐 https://jlkn.mod.gov.my
