Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai larian merentas desa di sekolahnya pada hari Jumaat.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, pelajar terbabit yang dikenali sebagai Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik menghampiri garisan penamat, dalam kejadian jam 8 pagi itu.
“Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sepanjang 7 kilometer.
“Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan dilaporkan media.
Katanya lagi, guru yang berada di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi talian 999 dan pelajar tersebut telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.
“Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia,” katanya.
Berdasarkan keterangan daripada bapa Allahyarham, pelajar tersebut menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016.
Malah katanya, dia turut mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya