Umum

Seorang rugi RM2 juta kehilangan wang dari akaun simpanan tetap, kakitangan bank disyaki terlibat

Gambar Hiasan

Seorang kakitangan bank disyaki mendalangi satu kes pelanggan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap membabitkan kerugian lebih RM2 juta di sebuah institusi kewangan di Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata satu laporan diterima 9 Julai lalu mendakwa kakitangan bank itu memindahkan wang dari akaun simpanan tetap pelanggan ke akaun pihak ketiga.

Menurutnya, dua pemilik akaun simpanan tetap ke bank terbabit untuk mengeluarkan wang dari akaun mereka pada 27 Jun lalu, tetapi semakan mendapati sebahagian sijil akaun simpanan tetap mereka sudah ditutup.

“Pelanggan terbabit menafikan pernah membuat penutupan itu atau mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap mereka,” katanya dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, hasil siasatan pihak bank mendapati seorang kakitangannya disyaki mengeluarkan wang itu tanpa pengetahuan pelanggan sebelum mendepositkannya ke beberapa akaun berbeza.

Katanya, walaupun kakitangan itu yang juga suspek utama meninggal dunia 5 Julai lalu dipercayai membunuh diri, siasatan kes itu tetap diteruskan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Ramli berkata, institusi perbankan perlu menjalankan siasatan terperinci ke atas transaksi tidak dibenarkan seperti disarankan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, bukannya menyalahkan pelanggan akibat penipuan perbankan dalam talian, kecuali ada bukti jelas pelanggan gagal melindungi butiran peribadi penting mereka.

“Sebagai langkah tambahan, polis menyarankan pihak bank memperkemas sistem mereka demi memastikan kepentingan pelanggan sentiasa terpelihara.”

Menurutnya, satu peruntukan baharu akan dikuatkuasakan bagi membolehkan JSJK menyiasat dan mendakwa pegawai bank terbabit aktiviti sindiket penipuan.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top