Business

Seoul My Soul in Kuala Lumpur Bakal Tarik Minat Pelancong Malaysia ke Seoul

Seoul Tourism Organization (STO) akan menganjurkan acara promosi pelancongan bertajuk “Seoul My Soul in Kuala Lumpur” pada Ahad, 7 Disember ini bertempat di dataran utama Fahrenheit 88, Kuala Lumpur.

Acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat rakyat Malaysia terhadap Seoul, yang terus mencatat permintaan tinggi dalam kalangan pelancong Malaysia pascapandemik.

STO memaklumkan, pasaran pelancongan Malaysia dijangka terus berkembang pesat sehingga 2025, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil serta peningkatan kuasa beli kelas pertengahan. Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, sekali gus merangsang permintaan terhadap perjalanan ke luar negara.

Hubungan ekonomi dan pelancongan yang semakin kukuh antara Korea Selatan dan Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan berterusan jumlah pelancong Malaysia ke Korea.

Tarikan K-pop, Kebudayaan & Pengalaman Interaktif

Acara ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk:

  • Zon foto jenama Seoul dengan tema Krismas
  • Pengalaman membuat poskad Krismas berlatarbelakangkan lokasi ikonik Seoul
  • Persembahan tarian semula K-pop
  • Persembahan Taekwondo oleh K-Tigers
  • Hadiah K-snack serta hiburan di lokasi
  • Cabutan bertuah menawarkan baucar penerbangan dan hotel

Pengunjung juga berpeluang bergambar di reruai foto layan diri bersama “Haechi”, maskot rasmi Seoul dan “Jennie”, model promosi Seoul Tourism, seolah-olah bersama duta sebenar pelancongan bandar itu.

Dengan sokongan Nongshim, ramen kolaborasi edisi terhad K-pop Demon Hunters turut akan diberikan secara percuma kepada pengunjung terpilih.

Datuk Bandar Seoul Bakal Hadir

Program rasmi acara yang bermula pada jam 4 petang akan diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Seoul, Oh Se-hoon, yang akan memperkenalkan kandungan pelancongan istimewa termasuk lokasi penggambaran popular seperti Menara Namsan dan Dongdaemun Design Plaza (DDP).

Beliau juga akan menyertai upacara penyalaan lampu Pokok Krismas Seoul dan Santa Haechi, sesi tarian bersama penonton serta cabutan bertuah sebagai sebahagian daripada usaha agresif mempromosikan pelancongan Seoul di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Seoul Tourism Organization, Kil Ki-yeon, berkata Malaysia merupakan antara pasaran Asia Tenggara dengan minat paling tinggi terhadap pelancongan Korea.

“Pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan minat tinggi terhadap kandungan Korea atau K-content dalam kalangan generasi muda mendorong permintaan untuk melancong ke Seoul,” katanya.

Beliau menambah, melalui promosi ini, STO menyasarkan untuk membina keterlibatan lebih erat dengan bakal pelawat Malaysia serta menampilkan pelbagai program budaya dan pengalaman istimewa yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Seoul.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top