Umum

Seramai 159,027 calon lepasan SPM terima tawaran tempat IPTA & ILKA

Gambar Hiasan

Seramai 159,027 calon lepasan SPM menerima tawaran melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahoran Awam (ILKA).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menerima 214,173 permohonan yang layak bagi lepasan SPMuntuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

KPT dalam kenyataan, menyatakan daripada 159,027 calon, seramai 83,667 calon ditawarkan di Universiti Awam (UA), 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 ILKA.

“Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi Kategori B40, 425 Orang Kurang Upaya (OKU), 732 Atlet dan 354 Orang Asli.

“Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran,” katanya.

KPT juga menerangkan, secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi Sesi kali ini dengan pecahan 104 sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan 1 ljazah Sarjana Muda.

Kenyataan itu turut menjelaskan kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 28 Jun 2024, jam 12.00 tengah hari hingga 7 Julai 2024, jam 5.00 petang,” ujarnya.

Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.

PALING POPULAR

To Top