Umum

Serang peguam di P Pinang, 2 lelaki diburu polis

Polis sedang mengesan 2 lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam satu kejadian di depan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di Pulau Pinang pada Selasa lepas.

Menurut Pemangku Ketua Polis Timur Laut , Lee Swee Sake, serangan yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu mengakibatkan mangsa seorang lelaki berusia 37 tahun menerima 7 jahitan di kepala.

“Polis kini giat memburu dua lelaki tempatan dan berdasarkan siasatan, mereka diupah oleh seseorang atau “mastermind” untuk menyerang peguam itu dengan menggunakan besi.

“Dua lelaki itu menaiki sebuah kereta semasa kejadian namun pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, kami percaya insiden itu bukan bermotifkan samun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.

“Serangan hendap yang dirancang itu bukan sahaja serangan ke atas individu tetapi juga serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.

Lee berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga meminta kerjasama saksi atau sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top