Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengurangkan kadar sewaan sebanyak 50% bagi tapak penjaja serta premis tertentu di bawah seliaannya bermula 1 April ini hingga 31 Disember 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL di ibu kota.
Menurut beliau, langkah berkenaan bertujuan membantu peniaga kecil mengurangkan tekanan kos operasi susulan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.
“Inisiatif ini juga menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu peniaga kecil dan rakyat bandar menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya pada sidang media di sini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hannah berkata pengurangan kos sewaan itu dijangka memberi kesan positif kepada penduduk bandar yang membeli makanan atau barangan harian daripada penjaja dan peniaga kecil.
“Saya berharap inisiatif ini akan diterima baik oleh penjaja dan mereka yang mempunyai tunggakan sewaan perlu mengambil peluang ini untuk menyelesaikan tunggakan yang ada kerana permintaan terhadap tapak seperti ini adalah tinggi,” katanya.
Sementara itu, Fadlun menjelaskan pengurangan kadar sewa dilaksanakan melalui potongan sebanyak 50% secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.
Bagaimanapun, bagi premis yang mempunyai kadar sewa RM50 dan ke bawah, kadar tersebut akan dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.
Beliau berkata penyewa juga perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menikmati insentif berkenaan.
Tambahnya, DBKL akan terus memantau perkembangan kos sara hidup dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang inklusif serta prihatin terhadap kebajikan rakyat.
