Serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur di sebuah premis pejabat di Jalan Gelenggang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, empat individu telah ditahan dalam operasi tersebut, termasuk seorang warga Hong Kong.
Menurut beliau, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 49 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket ini mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian jenis mini kasino.
Mereka menggunakan laman web dan platform media sosial untuk mempromosikan aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak tahun 2022 dan menyasarkan beberapa negara di rantau Asia sebagai lokasi penganjuran.
Antara negara yang terlibat termasuk Taiwan, Korea, Filipina dan Thailand.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti modus operandi penuh sindiket berkenaan serta rangkaian yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.
