Umum

Sindiket pelaburan ayam kaut RM3 juta tumpas

Gambar Hiasan

Sebuah sindiket penipuan pelaburan ayam kampung yang mengaut keuntungan lebih RM3 juta berjaya ditumpas dengan penahanan 11 individu di beberapa negeri akhir bulan Jun lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Yoosuf, 8 lelaki dan 3 wanita tempatan berusia 38 hingga 56 tahun ditahan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan pada 26 Jun lalu.

Katanya, mereka berperanan sebagai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen dan sukarelawan Pertubuhan Amal Kinta Perak.

“Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak awal 2023 ini ialah menawarkan pelaburan minimum RM250 dan dijanjikan pulangan RM13 sebulan atau boleh ditukar seekor ayam kampung.

“Wang pelaburan dimasukkan ke akaun bank pertubuhan terbabit, tetapi bermula September 2023, pelabur tidak lagi menerima keuntungan dijanjikan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, polis turut merampas 13 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2.9 juta, 2,143 ekor kambing biri-biri baka shami, 13 utas rantai emas, dua bentuk cincin emas, 20 telefon bimbit, empat tablet, 17 unit komputer riba dan 37 keping kad bank, selain membekukan 34 akaun bank dan unit amanah bernilai RM6.5 juta.

“Sehingga kini, 85 laporan polis diterima di seluruh negara melibatkan skim pelaburan ini dengan nilai kerugian mencecah RM3.297 juta,” katanya sambil menambah siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

 

PALING POPULAR

To Top