Umum

Singapura Catat Lonjakan Kes Covid-19, KKM Kata Situasi Malaysia Masih Stabil

Gambar Hiasan

Singapura Catat Lonjakan Kes Covid-19, KKM Kata Situasi Malaysia Masih Stabil

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan situasi Covid-19 di negara ini masih terkawal walaupun beberapa negara jiran termasuk Singapura merekodkan peningkatan kes baru-baru ini.

Menurut KKM, majoriti besar kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia ketika ini hanya melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Malah, setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 tahun 2026, tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini.

KKM berkata jumlah kes Covid-19 sehingga ME19/2026 sebenarnya menurun 12.6 peratus atau 9,682 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding minggu sebelumnya, situasi ini kekal terkawal.

“Majoriti besar kes dilaporkan hanyalah melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.

Subvarian baharu dikesan

Dalam masa sama, KKM memaklumkan beberapa subvarian baharu Covid-19 turut dikesan menerusi aktiviti penjujukan genomik yang dijalankan secara berterusan.

Bagaimanapun, subvarian berkenaan tidak menunjukkan kecenderungan mencetuskan gelombang jangkitan serius.

KKM berkata pihaknya akan terus memperkukuh saringan pengembara di pintu masuk antarabangsa selain bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Langkah itu bertujuan memastikan pengesanan awal dan tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku peningkatan risiko penularan dari luar negara.

Covid-19 kini seperti jangkitan saluran pernafasan biasa

Menurut KKM, jangkitan Covid-19 kini diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.

Orang ramai bagaimanapun masih disaran mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka jika bergejala atau berada di kawasan sesak serta mendapatkan vaksinasi.

KKM turut menggalakkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, wanita hamil dan individu imunokompromi mendapatkan perlindungan vaksin.

Singapura rekod peningkatan kes

Sebelum ini, Singapura melaporkan peningkatan ketara kes Covid-19 apabila sebanyak 12,700 kes direkodkan bagi tempoh 10 hingga 16 Mei lalu berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.

Menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) Singapura, purata kemasukan harian ke hospital akibat Covid-19 turut meningkat daripada 56 kepada 73 kes.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top