Umum

SJMC tersenarai antara 250 hospital terbaik dunia dalam ranking Newsweek 2026

Subang Jaya Medical Centre (SJMC) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila tersenarai dalam Top 250 hospital terbaik dunia serta Top 10 di peringkat serantau dalam senarai World’s Best Hospitals 2026 oleh Newsweek.

Pengiktirafan ini menempatkan SJMC dalam kelompok hospital terkemuka dunia dan pada masa sama mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tiga hospital swasta terbaik di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia OneHealthcare, Bryan Lin berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan pasukan klinikal dan operasi hospital itu dalam memberikan rawatan bertaraf dunia.

“Pengiktirafan dalam senarai Top 250 hospital terbaik dunia oleh Newsweek merupakan satu kebanggaan buat seluruh warga SJMC. Ia mencerminkan kepercayaan pesakit terhadap kami serta dedikasi doktor, jururawat dan profesional kesihatan yang bekerja tanpa henti untuk memberikan kepakaran bertaraf global setiap hari,” katanya.

Beliau menambah, pencapaian itu bukan sekadar satu kejayaan tunggal tetapi hasil usaha bertahun-tahun dalam membina asas klinikal yang kukuh, melabur dalam teknologi perubatan terkini serta membudayakan pendekatan yang sentiasa meletakkan pesakit sebagai keutamaan.

Dinilai lebih 2,500 hospital di seluruh dunia

Ranking tahunan oleh Newsweek yang dijalankan dengan kerjasama firma penyelidikan data global Statista menilai lebih 2,500 hospital di 32 negara.

Penilaian dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk cadangan pakar perubatan di seluruh dunia, data pengalaman pesakit, metodologi penilaian kualiti hospital serta analisis Patient Reported Outcome Measures (PROMs) oleh Statista.

Penyertaan SJMC dalam senarai Top 250 hospital terbaik dunia 2026 turut mengukuhkan rekod pencapaiannya dalam pelbagai pengiktirafan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hospital itu sebelum ini turut tersenarai dalam senarai Asia’s Top Private Hospitals oleh Newsweek serta menduduki tempat pertama di Asia bagi pembedahan dan penggantian pinggul selama dua tahun berturut-turut.

Selain itu, SJMC juga mengekalkan kedudukan sebagai hospital Malaysia dengan penyertaan paling banyak dalam ranking Asia Pacific 2025 oleh Newsweek.

Antara hospital pelancongan perubatan utama Malaysia

Pengiktirafan global ini hadir selepas SJMC dipilih sebagai salah satu daripada empat Hospital Pelancongan Perubatan Flagship 2025 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan peranan penting SJMC dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi rawatan kesihatan berkualiti tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selari dengan kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026, hospital ini menerima pesakit dari seluruh rantau Asia Pasifik serta negara lain, disokong oleh kepakaran multidisiplin dan kemudahan rawatan yang komprehensif.

Pegang pelbagai pensijilan kualiti antarabangsa

Dalam usaha mengekalkan standard keselamatan dan kualiti rawatan, SJMC juga menjadi hospital pertama di Asia Pasifik yang memiliki empat pensijilan Centre of Excellence daripada Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI).

Pensijilan tersebut meliputi bidang Onkologi, Kardiologi, Gastroenterologi dan Pediatrik.

Selain itu, hospital berkenaan turut memiliki tiga akreditasi Joint Commission International (JCI) serta enam akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).

Menurut Bryan Lin, sebagai hospital Malaysia yang diiktiraf di pentas global, SJMC melihat pencapaian ini sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab.

“Kami akan terus memperkukuh perkhidmatan kepakaran termasuk membangunkan pasukan neurologi dan pembedahan saraf multidisiplin yang berpengalaman bagi meningkatkan rawatan kes kompleks berkaitan otak mengikut penanda aras global,” katanya.

Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam sektor penjagaan kesihatan, SJMC komited untuk terus memperluaskan kecemerlangan perubatan serta inovasi rawatan demi meningkatkan penjagaan berpusatkan pesakit di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari https://subangjayamedicalcentre.com/.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top