Umum

SPRM ambil dokumen dari Kesuma, HRDCorp

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil dokumen di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sebagai sebahagian proses siasatan berkait HRD Corp seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, minggu lalu.

Dilaporkan BH, sepasukan anggota dan pegawai agensi antirasuah itu tiba di bangunan Kesuma, Putrajaya kira-kira 11.20 pagi sebelum membawa beg dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp sejam kemudiannya.

Sementara itu, 10 pegawai SPRM hadir ke Ibu Pejabat HRD Corp di Bukit Damansara 11.30 pagi dan turut membawa dokumen.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan agensi itu menerima laporan audit dikemukakan Ketua Setiausaha Kesuma Khairul Dzaimee, sehari sebelumnya.

Beliau dilaporkan berkata, berasaskan laporan audit terbabit, SPRM mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terbabit.

Antaranya melibatkan isu pelaburan, pengurusan dana, latihan, selain pembelian harta dengan satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

LKAN 2024 dikeluarkan Khamis lalu mengesyorkan Kesuma merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Menurut laporan itu, terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip ‘secara agresif’ digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dan menegur HRD bukan institusi pelaburan.

 

 

PALING POPULAR

To Top