Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dikesan berkait kerugian pelaburan RM43.9 juta dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata berdasarkan siasatan setakat ini, transaksi itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu dan pihaknya percaya sebahagian pelaburan diterima telah disalahguna.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya menurut Berita Harian.
Azam berkata, sehingga kini, pihaknya merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah, dan PNB bagi membantu siasatan.
Katanya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menyemak semua dokumen itu untuk melihat aliran punca kewangan dan perbelanjaan bagi mengesan sama ada wujud unsur rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalah guna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta dialami Khazanah dan PNB dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Okt lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Pengasas platform e-dagang itu, Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya untuk direkod keterangan selama tiga hari berturut-turut.
Semalam, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Agensi antirasuah itu turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.
Sumber FMT