Umum

SPRM Rampas Aset Lebih RM31 Bilion Dalam 5 Tahun, Hampir RM28 Bilion Dilucut Hak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas aset bernilai RM31.4 bilion hasil aktiviti berkaitan rasuah dalam tempoh lima tahun lalu, dengan hampir RM28 bilion daripadanya telah dilucut hak untuk negara, lapor media tempatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata nilai tersebut merangkumi pelbagai bentuk aset – daripada wang tunai, hartanah, kenderaan mewah hingga barangan berjenama – yang diperoleh hasil aktiviti haram.

Antara rampasan terbesar termasuk:

  • RM183 juta daripada sindiket penyeludupan menerusi Ops Metal.
  • Hartanah bernilai RM620 juta dalam siasatan projek pembangunan rangkaian gentian optik.
  • RM36 juta melibatkan wang tunai, kereta mewah dan akaun bank berkaitan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya.
  • Aset mewah RM32 juta milik seorang bergelar Tan Sri, termasuk 217 jam tangan mewah dan 27 beg tangan pereka.

Media turut melaporkan bahawa 41 hartanah tidak alih, termasuk tanah dan bangunan yang dirampas, kini berada di bawah pengurusan Bahagian Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM sementara menunggu proses pelupusan.

Azam menegaskan, usaha berterusan SPRM dalam mengesan serta melucut hak aset haram bukan sahaja dapat memulihkan hasil untuk negara, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan.

“Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan kesungguhan SPRM mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya seperti dipetik.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top