Buletin

SPRM tahan penolong pegawai agensi perladangan bantu siasatan tuntutan palsu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira sekitar 4 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberikan keterangan.

Sumber memaklumkan sekitar 2018, suspek pada masa itu bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi yang sama di kawasan Klang, telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat dalam mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut, sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam di sini hari ini bagi permohonan reman.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top