Umum

Stadium Nasional dan Stadium Putra dijenama semula sebagai TM Stadium Nasional, Unifi Arena

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi dua venue ikonik negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.

Melalui kerjasama strategik selama tiga tahun itu, kedua-dua stadium berkenaan dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena, berkuat kuasa mulai 6 Mac 2026.

Perbadanan Stadium Malaysia memaklumkan kerjasama tersebut merupakan satu langkah penting bagi memastikan kedua-dua venue utama negara itu terus kekal relevan, selesa serta berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, pihaknya komited memastikan kemudahan di kedua-dua stadium tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kegunaan rakyat Malaysia.

“Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil daripada kerjasama tersebut akan disalurkan bagi usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Amar Huzaimi Md Deris berkata TM berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang ikonik itu.

“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat serta menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra merupakan antara venue utama negara yang sering menjadi lokasi penganjuran acara sukan, konsert serta pelbagai acara berskala besar.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top