Buletin

Status ‘underdog’ tidak bermakna PN beri laluan mudah kepada BN

WALAUPUN dianggap ‘underdog’, Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Memetik laporan BH, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menunjukkan rakyat menolak parti berkenaan adalah antara faktor yang perlu diambil kira.

“Saya ambil pendirian bahawa walaupun PN ‘underdog’, kita tidak boleh memberi laluan mudah kepada UMNO untuk membentuk kerajaan negeri begitu sahaja.

“Saya mengingatkan dalam PRU pun mereka kalah dan dapat dilihat orang Johor sudah bertindak begitu yang membuktikan mereka (rakyat) peka tentang apa yang mereka mahu,” katanya di Pagoh hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Johor menyifatkan tindakan yang dilakukan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang yang keluar parti tidak menjejaskan parti berkenaan menghadapi PRN Johor.

Menurut Muhyiddin, tindakan berkenaan tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.

“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.

“Dia nak masuk UMNO? Dia fikir UMNO akan calonkan dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, itu cerita lain.

“Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang?” katanya.

Beliau mengulas tindakan Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Putri Wangsa yang melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Muhyiddin menambah, Mazlan sepatutnya tidak mengambil langkah berkenaan kerana bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor itu juga memegang jawatan exco dalam kerajaan negeri.

“Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai EXCO dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan di manakah pendirian dia.

“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” katanya.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top