Umum

Steven Sim ketua DAP Penang baharu

Gambar Facebook

Ketua DAP Pulau Pinang yang baharu dilantik, Steven Sim, menepis ura-ura pelantikan beliau sebagai ketua menteri, sebaliknya berkata mahu fokus pada mendekati rakyat.

Menurut beliau pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk berhubung dengan pertubuhan masyarakat sivil agar suara akar umbi dapat lebih jelas didengar.

Pasukan petugas itu akan diketuai oleh Timbalan Ketua DAP Pulau Pinang Ramkarpal Singh, dibantu oleh Naib Ketua Zairil Khir Johari dan Yeoh Soon Hin, kata beliau selepas pengumuman kepimpinan parti negeri yang baharu.

Sim berkata, beliau bercadang untuk lebih terlibat dengan ahli akar umbi dan mengukuhkan kehadiran parti itu di Pulau Pinang, khususnya dalam kalangan belia.

Tambahnya, beliau dan jawatankuasa yang baru dilantik itu akan bertemu dengan Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen DAP di seluruh negeri untuk mengumpul maklum balas dari lapangan dan merekrut ahli baharu.

Apabila ditanya sama ada beliau bersedia menjadi ketua menteri Pulau Pinang seterusnya, Sim berkata:

Perkara itu boleh dibincangkan kemudian. Kita mesti pastikan menang pilihan raya akan datang, tubuhkan kerajaan (negeri) bersama-sama.

Penyandang semasa jawatan ketua menteri ialah Chow Kon Yeow, bekas ketua DAP negeri yang tidak bertanding pada pemilihan parti kali ini kerana ini penggal kedua dan terakhir beliau sebagai ketua menteri.

Chow telah menjadi ketua DAP Pulau Pinang selama dua dekad.

Selepas pemilihan parti hari ini, Sim menyeru agar rakan separtinya bersatu dan memberi tumpuan berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berterima kasih kepada perwakilan parti atas kepercayaan mereka terhadap jawatankuasa baharu itu, selain turut menzahirkan penghargaan terhadap Chow atas khidmat teladan beliau terhadap parti dan rakyat Pulau Pinang.

Jawatankuasa DAP negeri baharu ini ialah pasukan yang bersatu-padu. Saya gesa semua ahli DAP Pulau Pinang turut bersatu sebagai pasukan DAP Pulau Pinang yang kuat demi kebaikan rakyat dan parti, katanya.

Beliau berkata, pasukan baharu bawah pimpinannya akan meneruskan misi parti, menyokong kerajaan negeri pimpinan Chow dan kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sim dilantik sebagai ketua DAP Pulau Pinang oleh 15 anggota kepimpinan parti negeri yang dipilih oleh perwakilan pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang di Bayan Baru hari ini.

 

 

Sumber : FMT

 

PALING POPULAR

To Top