Umum

Penambahbaikan Subsidi RON95 Untuk Pemandu E-hailing dan Teksi Lapangan Terbang

Kerajaan hari ini mengumumkan penambahbaikan terhadap penyaluran subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang, sebagai langkah memperkukuh keadilan dan ketelusan dalam pelaksanaan program subsidi bersasar.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MoF), inisiatif baharu ini merupakan hasil perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta syarikat pengendali e-hailing (EHO).

Penambahbaikan itu bertujuan memastikan pelaksanaan subsidi berasaskan bukti yang adil dan telus, bagi membantu pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang menampung kos bahan api harian mereka.

Skim Berperingkat Untuk Pemandu E-hailing

Bermula pertengahan bulan ini, skim kelayakan berperingkat BUDI95 akan diaktifkan berdasarkan jarak perjalanan bulanan pemandu e-hailing yang direkodkan dalam sistem EHO.

Tahap tambahan kelayakan bulanan ditetapkan seperti berikut:

Jarak perjalanan e-hailing (bulan sebelumnya) Tambahan kelayakan BUDI95 Jumlah kelayakan (termasuk 300 liter asas)
Kurang daripada 2,000 km Tiada tambahan 300 liter
2,000 – 5,000 km 300 liter 600 liter
Melebihi 5,000 km 500 liter 800 liter

Langkah ini berdasarkan kajian MoF terhadap data perjalanan e-hailing dan penggunaan subsidi sebenar sehingga September 2025. Had kelayakan asal 3,000 km kini dikurangkan kepada 2,000 km bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pemandu aktif, manakala kategori baharu melebihi 5,000 km diwujudkan untuk pemandu sepenuh masa.

Pelaksanaan Untuk Pemandu Teksi Lapangan Terbang

Bagi pemandu teksi lapangan terbang pula, syarikat pengendali kini boleh memohon fleet card di bawah Skim Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) yang dikendalikan oleh KPDN.

Kelayakan bagi kategori ini adalah sehingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan, tertakluk kepada pematuhan syarat dan kawalan kadar tambang oleh APAD. Namun begitu, limousin yang beroperasi tanpa kawalan kadar tambang oleh APAD tidak layak memohon fleet card di bawah skim ini.

Komitmen Kerajaan MADANI

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memastikan program subsidi bersasar ini dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pemandu e-hailing boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang kriteria kelayakan tambahan BUDI95 melalui APAD dan LPKP, manakala syarikat teksi lapangan terbang boleh mula mengemukakan permohonan fleet card melalui portal rasmi:
🔗 https://mysubsidi.kpdn.gov.my


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top