Sports

Sukma platform lahirkan atlet negara ke Olimpik

Gambar MSN

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Sukan Malaysia (Sukma) merupakan platform penting bagi menyediakan atlet elit negara beraksi di Sukan Olimpik.

Menurutnya, seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.

“Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti Sukma inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa.

“Atlet kita di sini, adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak. Mungkin dalam kalangan kita, ada atlet Olimpik Brisbane 2032. Itulah pentingnya platform seperti Sukma yang perlu diberi penekanan yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sukma 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak.

“Saya menggunakan contoh wira dan wirawati negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Walaupun diduga dengan penyingkiran pada penampilan yang dirancang sebagai Olimpik terakhirnya, Datuk Azizulhasni Awang tetap memberitahu penyokongnya bahawa beliau masih belum berputus asa,” katanya.

Beliau turut berkata, “Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong dan peminat yang ramai, anda semua mempunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik.”

Sukma 2024 pada kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, Sukma telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

PALING POPULAR

To Top