Sports

Sultan Selangor murka, MFL umum pengurangan denda terhadap Selangor FC

Gambar MFL

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pengurangan denda yang dikenakan terhadap Selangor FC daripada RM100,000 kepada RM60,000, sehari selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan rasa murka dan kecewa dengan hukuman asal.

MFL dalam kenyataan turut mengumumkan pemotongan tiga mata bagi aksi Liga Super musim ini dibatalkan manakala penonton turut dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun ke atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

“Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin murka dengan hukuman tidak masuk akal dikenakan terhadap Selangor FC kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Baginda menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku

Kelmarin, MFL mengumumkan denda RM100,000 terhadap Selangor FC, bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dimainkan tanpa penonton.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top