Sunway University mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai institusi paling meningkat di dunia dalam QS World University Rankings 2026, melonjak dari kedudukan #539 ke #410 — satu pencapaian luar biasa yang meletakkan Malaysia semakin kukuh dalam peta pendidikan tinggi global.
Lonjakan 129 anak tangga ini bukan sahaja memperkukuh reputasi Sunway sebagai pusat kecemerlangan akademik, malah menandakan keberkesanan pendekatan universiti dalam membangunkan graduan yang bersedia untuk mendepani cabaran masa depan dalam ekonomi global yang pesat berubah.
“Ini adalah hasil kerja keras seluruh warga universiti — daripada pensyarah, staf sokongan hingga ke mahasiswa. Pendekatan kami yang holistik terhadap akademik, inovasi, kemampanan dan kolaborasi antarabangsa benar-benar mula menunjukkan impaknya,” kata Profesor Dr. Sibrandes Poppema, Presiden dan Naib Canselor Sunway University.
Prestasi Cemerlang Dalam THE Impact Rankings 2025
Bukan sekadar dalam QS, Sunway University turut melonjak ke kedudukan ke-81 global dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, daripada lebih 2,300 institusi seluruh dunia — satu peningkatan ketara daripada kumpulan 201–300 pada tahun sebelumnya.
Universiti ini turut tersenarai dalam 100 Teratas global untuk enam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan dua daripadanya dalam 25 Teratas, sekali gus menjadikan Sunway sebagai antara peneraju global dalam bidang kemampanan.
Pusat Kecemerlangan Serantau dan Global
Kini, Sunway University merupakan satu-satunya universiti swasta di ASEAN yang mendapat pengiktirafan dalam ketiga-tiga pemeringkatan global utama:
> QS World University Rankings
> Times Higher Education (THE) World University Rankings
> ShanghaiRanking’s Academic Ranking of World Universities
Ini memperkukuh kedudukan universiti tersebut sebagai pusat penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat yang mampu bersaing di peringkat global, sekaligus menyumbang kepada aspirasi Malaysia membina ekonomi berasaskan pengetahuan dan nilai mampan.
“Kami akan terus kekal komited membina ekosistem pendidikan yang melahirkan bukan hanya graduan cemerlang, tetapi juga warganegara global yang berdaya saing, beretika dan bertanggungjawab,” tambah Dr. Poppema.
Kejayaan ini bukan hanya milik Sunway University, tetapi juga lambang kemajuan sektor pendidikan tinggi Malaysia yang kian diiktiraf dunia.
