Umum

Swatch heret kerajaan ke mahkamah berhubung rampasan jam

Firma pembuat jam Swiss mengheret kerajaan ke  mahkamah sivil berhubung serbuan dan rampasan ke atas jam Koleksi Pride yang tertera warna pelangi yang didakwa melambangkan simbol komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Kumpulan Swatch (Malaysia) Sdn Bhd pada 24 Jun memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung rampasan jam tangan Mei lalu, yang menyenaraikan menteri dalam negeri (tidak dinamakan); ketua setiausaha kementerian, setiausaha bahagian penguatkuasaan kementerian; dan kerajaan sebagai responden.

Menurut salinan kertas kausa, pembuat jam Swiss itu memohon antara lain, perintah certiorari untuk membatalkan notis rampasan berhubung serbuan yang dijalankan antara 13 hingga 15 Mei; perintah mandamus untuk memaksa empat responden itu memulangkan 172 jam tangan yang dirampas dalam tempoh lima hari dari tarikh perintah mahkamah, serta ganti rugi, termasuk yang bersifat teladan dan teruk.

Melalui afidavit sokongan, pengarah syarikat itu Martin Issing berkata, bahawa sebelum serbuan Mei tahun ini, Swatch telah menjual jam tangan yang diilhamkan oleh warna pelangi dan yang meraikan ‘Pride’ selama beberapa tahun di Malaysia tanpa sebarang kejadian.

Dia berkata majoriti jam tangan yang dirampas itu adalah daripada reka bentuk 2023 dan tidak tertera perkataan ‘LGBTQ+’ tetapi hanya dalam warna pelangi.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top