Umum

Tajuddin sahkan Muhyiddin tak masuk campur kes mahkamah Zahid

Sidang media khas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam secara tidak langsung mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak masuk campur dalam urusan kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendedahkan semasa dalam perbualan telefon, Zahid mengadu kepadanya Muhyiddin ketika itu masih Perdana Menteri (PM) tidak mahu membantunya dalam urusan kes mahkamah yang dihadapinya.

Untuk rekod, Zahid juga sebelum menyaman Muhyiddin bersama seorang lagi mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas didakwa memfitnahnya berhubung permintaan pertolongan untuk menyelesaikan kes mahkamah dihadapinya.

Zahid memfailkan saman tersebut pada April, bagaimanapun dalam afidavit balas Muhyiddin berkata Zahid menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

“Selepas saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baharu.

“Beberapa individu menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya meminta Azmin untuk turut serta.

“Ketika perbincangan, beliau menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu. Apabila saya tanya mengapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” kata Muhyiddin dalam afidavit tersebut.

Semalam, Tajuddin berkata Zahid sebenarnya terdesak dalam kes mahkamah yang sedang dihadapinya, malah mengadu kepadanya dalam satu perbualan telefon selepas Muhyiddin tidak mahu menolongnya dalam kes mahkamah beliau.

“Dia (Zahid) sangat terdesak, dia ingat dengan menyertai Mahathir dan kemudiaannya Muhyiddin, diaorang boleh tolong dia.

“Bossku (Datuk Seri Najib Razak) ingat dia boleh ditolong, Zahid pun begitu… sekali dah masuk tak dapat pertolongan itu yang mula marah, itu yang nak tarik sokongan.

“Saya tak boleh lupa Datuk Zahid pernah cakap dengan saya dalam telefon, Din dia kata (Tajuddin) dorang (Muhyiddin, Mahathir) ini pun tak gunalah, tak ada nak menolong (kes mahkamah),” katanya semasa sidang media semalam.

Semasa krisis tahun lalu yang menyaksikan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai PM, Zahid bersama-sama 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO menyertainya menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid ketika itu bersama-sama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang bersama langkah untuk menjatuhkan kerajaan ditadbir Muhyiddin.

Susulan itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin selepas namanya dicadangkan Bersatu, PAS dan GPS.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top