Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melihat ia menjadi satu masalah baginya untuk berdebat dengan mana-mana pihak menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) asalkan ia berkisar isu melibatkan kepentingan rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberi reaksi berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila sebelum ini menyifatkan debat bukan satu budaya dalam masyarakat negara selepas dicabar oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Nak kata debatkah, nak kata dialogkah, kalau siapa menganjur menjemput saya secara rasmi dan saya fikir agak sesuai dan tak menimbulkan reaksi yang tak elok.
“Itu mungkinnya dan dibuat secara adil, teratur bukan ada muslihat-muslihat yang lain. Ya itu yang mungkin akan dilakukan, saya tak ada masalah,” katanya semasa sidang media di Pagoh hari ini.
Menurut Muhyiddin, pelbagai isu rakyat boleh dibincangkan dalam debat yang hendak diadakan, sama ada isu ekonomi, pendidikan, antarabangsa dan lain, asalkan perkara tersebut dapat memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat secara amnya.
“Saya boleh nak bincang soal apa ekonomi boleh, pemulihan boleh, pendidikan boleh, antarabangsa boleh.
“Saya tak ada masalah. Bila-bila masa okay,” kataya lagi.
Terdahulu, Ismail Sabri memberi alasan menolak debat dengan Anwar kerana ia tidak mendatangkan hasil dan menyifatkannya bukan budaya Malaysia dan tidak pernah dibuat sedemikian.
“Bukan budaya kita debat ini, tidak pernah dibuat dan dan tidak mendatangkan hasil,” katanya dalam laporan media sebelum ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengutarakan cadangan supaya diadakan debat terbuka tiga calon Perdana Menteri dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sempena PRU-15.
Sumber: Agenda Daily