Umum

TalentCorp Lancar Kajian Utama Mengenai Impak AI, Digitalisasi, dan Ekonomi Hijau Terhadap Tenaga Kerja

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan kajian penting mengenai Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital, dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia.

Selaras dengan visi YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan Malaysia antara 20 negara teratas dalam teknologi AI, kajian ini menyelidik bagaimana kuasa transformasi membentuk semula industri, mengenal pasti peranan pekerjaan baharu muncul, dan menentukan kemahiran penting tenaga kerja masa depan Malaysia.

Kajian ini memberi tumpuan kepada 10 sektor utama — Aeroangkasa, Kimia, Elektrikal & Elektronik, Tenaga & Kuasa, Pembuatan & Perkhidmatan Makanan, Perkhidmatan Perniagaan Global, ICT, Peranti Perubatan, Pembuatan Farmaseutikal, dan Perdagangan Borong & Runcit — yang menyumbang RM933 bilion (60%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023.

Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong ketika memberi penekanan terhadap potensi transformasi kajian ini, berkata: “Kajian TalentCorp mengetengahkan peluang besar bagi pekerja Malaysia ketika AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau mengubah hala tuju industri. Dengan mengenal pasti kemahiran kritikal dan peranan baharu muncul, kami mahu memperkasakan rakyat Malaysia supaya dapat menyesuaikan diri dan menjadi peneraju di peringkat global, memacu pertumbuhan mampan dan kekal berdaya tahan dalam tenaga kerja negara.”

 

Inisiatif ini berpusat melalui MyMAHIR, platform digital komprehensif yang direka untuk melengkapkan bakat Malaysia dengan kemahiran masa depan. Dengan menyepadukan penemuan daripada Kajian Impak TalentCorp, MyMAHIR menyediakan pandangan penting mengenai trend industri, peranan pekerjaan baharu muncul, keperluan kemahiran, laluan kerjaya, dan program latihan dalam pelbagai sektor. Sebagai sumber berpusat dengan taksonomi kemahiran yang terperinci, ia dapat memperkasakan penggubal dasar, majikan, profesional, dan pelajar dengan kelengkapan untuk mengemudi perubahan industri dan merebut peluang baharu.

Menekankan peranan proaktif agensi itu, Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TalentCorp, berkata: “TalentCorp sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam industri untuk memastikan tenaga kerja Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan mudah. Melalui MyMAHIR dan inisiatif kami termasuk Senarai Pekerjaan Kritikal dan MyNext, kami memberi penekanan terhadap keperluan segera dan jangka panjang, membekalkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang penting untuk mendepani daya saing ekonomi negara dan global.”

Memacu Daya Tahan Tenaga Kerja

Kajian ini mengenal pasti 60 pekerjaan baharu muncul, seperti jurutera AI, pakar kelestarian, dan jurutera bio-proses, yang memiliki peranan penting untuk memajukan ekonomi hijau dan digital Malaysia.

Bagi menyokong peningkatan dan penambahbaikan kemahiran tenaga kerja, YB Steven Sim mengumumkan, kementerian akan menawarkan sokongan melalui levi, kredit, biasiswa, dan geran padanan menerusi dana berjumlah RM3 bilion. KESUMA turut mempertimbang untuk menawarkan insentif untuk kursus yang mendapat permintaan tinggi, seperti biasiswa kemahiran.

Sokongan yang akan ditawarkan melalui platform MyMAHIR, dan Akademi KESUMA yang akan diperkenalkan tahun depan adalah untuk menyediakan sumber komprehensif bagi pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

Melangkah ke hadapan, kajian Fasa 2 akan diperluaskan pada tahun 2025, merangkumi 12 sektor tambahan, sekali gus memperkukuhkan komitmen TalentCorp bagi melengkapkan tenaga kerja negara dengan kemahiran yang diperlukan untuk terus berkembang maju dalam ekonomi yang sentiasa berubah-ubah.

Ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi hijau dan digital, inisiatif TalentCorp ini memastikan tenaga kerja bukan sahaja dapat dilengkapkan, malah mampu memacu inovasi dan kepimpinan global, selain membuka jalan ke arah masa depan yang mampan.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Digital, YB Gobind Singh Deo; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Setiausaha Agung KESUMA, Datuk Azman Bin Mohd Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital, Encik Fabian Bigar; dan Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi bersama lebih 900 peserta daripada Industri, Akademia, Pelajar dan Agensi Kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kajian Impak TalentCorp, dapatan daripada 10 sektor dan platform MyMAHIR, sila layari www.mymahir.my

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top