Genting SkyWorlds mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila taman tema tersebut meraikan ketibaan pengunjung ke-1 juta bagi tahun 2025, menandakan peningkatan berterusan dalam populariti dan sokongan daripada pengunjung tempatan, serantau dan antarabangsa.
Pengunjung bertuah yang mencatatkan rekod ini ialah empat beradik dari Pahang — Zawani Zamri (28), Zuriatina Zamri (23), Adib Zamri (20) dan Adlee Zamree (15) — yang sedang berkunjung untuk menikmati hari keluarga. Tanpa disangka, mereka dibawa ke pentas utama untuk menerima sambutan istimewa yang dihujani konfeti, mencipta detik yang penuh makna buat mereka sekeluarga.
Sebagai tanda penghargaan, keluarga tersebut menerima empat Pas Tanpa Had Genting SkyWorlds serta pakej sesi fotografi keluarga khas untuk mengabadikan momen bersejarah itu.
“Kami tidak menyangka langsung akan menjadi pengunjung ke-1 juta. Betul-betul mengejutkan, dan kami sangat teruja,” kata Zawani mewakili adik-beradiknya. “Kami akan gunakan pas ini sepenuhnya dan menikmati semua permainan hari ini.”
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, turut menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan pengunjung.
“Mencapai angka sejuta pengunjung tahun ini membuktikan daya tarikan Genting SkyWorlds yang semakin kukuh. Lebih bermakna apabila detik ini diraikan bersama sebuah keluarga dari Pahang. Ia mengingatkan kami tentang momen bahagia dan memori istimewa yang kami cipta untuk pengunjung dari semua peringkat umur. Kami berharap untuk menyambut lebih ramai pengunjung menjelang Visit Malaysia 2026.”
Pada masa yang sama, Genting SkyWorlds sedang menawarkan promosi Last Call Pas Tanpa Had — dengan diskaun 30% untuk pendaftaran baharu pada harga RM211, bermula 18 November hingga 31 Disember 2025. Pas ini menawarkan akses tanpa had selama 365 hari, termasuk sehingga tiga tempahan Virtual Queue percuma setiap lawatan. Tawaran ini hanya untuk mereka yang belum pernah mendaftar Pas Tanpa Had sebelum ini. Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Genting SkyWorlds.
Bermula 1 Disember 2025, pengunjung juga dapat menikmati pengalaman baharu menerusi Studio Plaza Immersive Show. Terletak di altitud tertinggi di Malaysia, Studio Plaza menawarkan gabungan pemasangan interaktif, unjuran LED memukau dan audio ruang 3D yang menyampaikan pertunjukan mini secara berterusan di seluruh kawasan plaza.
Kejayaan menyambut pengunjung ke-1 juta ini terus mengukuhkan kedudukan Genting SkyWorlds sebagai destinasi keluarga utama di rantau ini, menawarkan pengalaman yang menyeronokkan, bermakna dan penuh pengembaraan untuk semua lapisan usia.
