Seorang wanita dikejarkan ke Hospital Kemaman petang hari Rabu selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd Zailani Abdullah, pihaknya menerima panggilan kecemasan oleh pihak hospital petang itu bagi membantu menanggalkan komponen mesin berkenaan.
Anggota bomba bertindak membuka mesin pengisar itu menggunakan playar dan mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit selepas dibius oleh pihak hospital.
Keadaan tangan mangsa ketika itu hancur sehingga menghampiri paras pergelangan tangan kanan dan semua jari tangan kanan hancur.
Tangan mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut laporan media, difahamkan mangsa wanita yang berusia 31 tahun itu sedang menggunakan mesin pengisar untuk membuat daging burger ketika kejadian itu berlaku.