Taylor’s University terus mencipta sejarah apabila kini berada di kedudukan ke-27 dalam QS Asia University Rankings 2026, sekali gus mengekalkan status sebagai universiti swasta terbaik di Asia Tenggara untuk tahun kelima berturut-turut.
Pencapaian ini menandakan lonjakan besar dalam beberapa indikator utama termasuk reputasi akademik, sitasi per kertas penyelidikan dan rangkaian penyelidikan antarabangsa — membuktikan peningkatan berterusan universiti tersebut di peringkat global.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, berkata pengiktirafan ini memperkukuh visi Taylor’s untuk menyediakan pendidikan yang transformasi dan relevan dengan keperluan dunia moden.
“Peningkatan berterusan dalam kedudukan kami mencerminkan komitmen terhadap kualiti pendidikan. Kami berusaha memastikan setiap inisiatif, kerjasama dan inovasi selaras dengan misi kami untuk membina potensi individu, memberi impak kepada masyarakat, dan menyokong pembangunan mampan,” katanya.
Pengiktirafan ini turut disokong oleh pencapaian Status Akreditasi Kendiri (Self-Accreditation Status) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Hanya 20 institusi di seluruh negara memegang status ini, menjadikan Taylor’s antara universiti paling dipercayai dari segi tadbir urus akademik dan jaminan kualiti.
Status ini memberi kuasa kepada Taylor’s untuk mengakreditkan program akademik sendiri, sekaligus meningkatkan keyakinan global terhadap kualiti graduan dan kebolehpasaran mereka.
Dalam masa yang sama, Taylor’s turut menonjol melalui pelantikan Penerima Anugerah Nobel Keamanan dan Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta, sebagai Profesor Adjung Kehormat bagi program Bachelor in Philosophy, Politics and Economics (Honours) — langkah yang mengukuhkan reputasinya sebagai hab pendidikan berpengaruh di rantau ini.
Taylor’s juga mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.5%, berdasarkan data Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tahun 2024 — jauh mengatasi purata kebangsaan 92.5%.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan program Taylor’s University, layari laman rasmi mereka.
