Umum

Tekanan Kerja Antara Faktor Dikaitkan Dengan Gaya Hidup LGBT – Menteri

Gambar Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR — Tekanan kerja dikenal pasti sebagai antara faktor yang dikaitkan dengan keterlibatan seseorang dalam gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, perkara itu merujuk kepada dapatan sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2017, yang turut mengenal pasti pengaruh sosial, pengalaman seksual serta faktor peribadi lain sebagai elemen yang mempengaruhi keterlibatan individu dalam LGBT.

Menurutnya, kajian berkenaan menekankan bahawa gabungan beberapa faktor boleh menyumbang kepada perkembangan perlakuan tersebut.

“Melihat kajian terdahulu, dapat disimpulkan bahawa keluarga, persekitaran sosial dan kekurangan penghayatan agama adalah faktor utama yang mempengaruhi gejala LGBT.

“Orientasi dan perlakuan seksual seseorang dipengaruhi secara ketara oleh latar belakang keluarga, persekitaran yang tidak menyokong serta tahap pemahaman dan amalan agama yang rendah,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang), yang meminta Perdana Menteri mengemukakan data dan statistik terkini berkaitan trend isu LGBT di Malaysia.

Soalan itu turut merangkumi pecahan peratusan mengikut kumpulan umur dan komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, selain faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai data atau statistik khusus mengenai golongan LGBT di Malaysia.

“Ini kerana penyelidikan mengenai golongan LGBT di Malaysia masih sangat terhad dan terbatas, sekali gus menyebabkan kekurangan data yang komprehensif mengenai jumlah populasi golongan ini,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top