Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan penyedia perkhidmatan media sosial Telegram menjadi platform yang ke-3 menerima lesen beroperasi selepas Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok).
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meluluskan permohonan lesen itu pada 2 Januari 2025, dan Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, serta WhatsApp dijangka akan memperoleh lesen dalam tempoh terdekat.
“Jadi Telegram, TikTok, dan WeChat sudah lulus dengan Meta masih (ada) beberapa dokumen dalam proses nak hantar.
“Dijangka (dalam masa) terdekat akan selesai,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis pertukaran dokumen perjanjian inisiatif Kampung Digital Melaka antara SKMM dengan kerajaan Melaka.
Sementara itu, Fahmi telah mengarahkan SKMM mengadakan libat urus dengan Google yang mengendalikan YouTube untuk mengemukakan permohonan lesen operasinya.
Beliau berkata, walaupun masih dalam urusan libat urus, Google diberi amaran tidak melanggar undang-undang dalam negara seperti membenarkan adanya video scam dan video judi dalam talian.
Menurut Fahmi lagi, beliau menyerahkan kepada SKMM untuk berbincang dengan X (dahulunya dikenali Twitter) berhubung jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna.