Rakyat perlu miliki ilmu serta kemahiran ‘survival’ berdepan sebarang kemungkinan dan tidak lagi sepatutnya terlalu bergantung harap kepada agensi kerajaan.
Kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Khamarrul Azahari Razak, mereka sekurang-kurangnya mampu bertindak awal untuk menyelamatkan diri dan orang terdekat sebelum pihak luar datang membantu.
“Dalam dunia bencana, selalu kita memperkatakan tentang risiko bahaya dan juga kerugian, kerosakan atau kematian.
“Tapi kita acap kali lupa tentang parameter penting dalam menyeimbangkan kehilangan nyawa dan juga kerosakan harta benda dengan pelaburan di atas daya tahan,” katanya.
Pelaburan daya tahan adalah usaha memberdayakan setiap anggota masyarakat untuk memiliki ilmu mempersiapkan diri berdepan sebarang kemungkinan dan tindakan ketika dalam situasi kecemasan.
Melihat Jepun sebagai negara yang sering dilanda bencana yang pelbagai, rakyatnya sedia tahu apa yang perlu dilakukan apabila bencana berlaku.
“Mereka buat simulasi berulang kali, jadi apabila ia menjadi sebahagian daripada kehidupan, mereka memahami isu bencana hanya ada dua dalam pemikiran mereka, sama ada hidup atau mati.
“Jadi di sana tak ada isu tak ada tindakan awal kerana menanti agensi penyelamat,” katanya.
Malah kata Khamarrul, sama ada usaha di peringkat kerajaan atau inisatif setiap individu, harus berupaya mengambil langkah proaktif, seperti membaca ramalan cuaca dan persediaan kelengkapan kecemasan, agar kemungkinan buruk dapat dikurangkan malah dielakkan andai berlaku musibah di masa hadapan.
“Sebahagian tanggungjawab itu harus diletak di bahu kita, sebagai ketua keluarga, ketua komuniti, masyarakat, individu yang berada di kawasan bencana.
“Kita mampu memainkan peranan membantu masyarakat, membantu agensi,” katanya.