Penyakit Tuberkulosis (Tibi) bukanlah isu baharu dalam landskap kesihatan awam negara dan masih kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian berterusan semua pihak.
Malaysia Health & Humanity Organisation (MHHO) mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta menjelaskan fakta berkaitan penularan Tibi.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia Health & Humanity Organisation (MHHO) menyeru orang ramai supaya lebih cakna terhadap gejala tibi dan mengambil tindakan saringan awal bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.
“Tibi boleh dicegah, dirawat dan sembuh sepenuhnya jika dikesan awal. Namun kelewatan memeriksa diri sering berlaku akibat salah faham dan stigma terhadap pesakit,” menurut MHHO.
Bercakap dengan Dr. Ainul Mardhiah, seorang AJK Kesihatan Awam MHHO yang kini berkhidmat di sebuah institusi kesihatan awam, beliau berkata gejala tibi bukan sekadar batuk.
“Kebanyakan kes tibi melibatkan paru-paru, tetapi ada juga kes tibi luar paru-paru dan melibatkan organ lain seperti tulang, kulit dan noda limpa,” kata Dr. Ainul Mardhiah
Gejala Tibi Yang Perlu Diperhatikan
- Batuk berpanjangan melebihi 2 minggu
- Batuk berdarah atau berkahak pekat
- Sakit dada atau sesak nafas
- Demam berpanjangan
- Peluh malam
- Susut berat badan & hilang selera makan
- Keletihan melampau
- Bengkak kelenjar, sakit tulang/sendi, sakit belakang, sakit kepala kronik (tibi luar paru-paru)
Ramai pesakit tidak menyedari mereka berisiko kerana gejala awal sering disalah anggap sebagai batuk biasa, keletihan atau demam biasa.
MHHO menegaskan supaya masyarakat tidak memulaukan pesakit tibi, kerana sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah penting untuk memastikan pesakit melengkapkan rawatan.
Selain itu, orang ramai digalakkan:
- Memastikan anak-anak menerima imunisasi BCG
- Mengamalkan gaya hidup sihat
- Menjaga pengudaraan rumah
KKM turut menekankan bahawa tibi adalah penyakit endemik komuniti yang memerlukan perhatian serius.
MHHO menambah:
“Lebih awal dikesan, lebih mudah dirawat dan lebih banyak nyawa dapat dilindungi.”
Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti!
